Kota Kinabalu: Fenomena ombak kuat dan air pasang besar sehingga menyebabkan air laut melimpah ke atas jalan, di Tanjung Lipat, di sini, sekali lagi berlaku sehingga menimbulkan kegusaran warga bandar raya, malam tadi.
Ia adalah kejadian kedua selepas pernah dilaporkan berlaku sekitar awal Januari tahun ini.
Fenomena itu bagaimanapun hanya berlanjutan selama beberapa jam sebelum ia beransur perlahan dan surut menjelang tengah malam tadi.
Kejadian air laut yang membadai pesisir pantai Tanjung Lipat, menyaksikan air memenuhi jalan raya berhampiran Sabah International Convention Centre (SICC) seawal jam 8 malam.
Air pasang laut turut menyebabkan medan selera Tanjung Lipat, berhampiran Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), di sini, digenangi air sehingga menjejaskan beberapa peniaga di kawasan berkenaan.
Sementara itu, tinjauan Deasoka.Com mendapati, fenomena itu menarik perhatian sebahagian besar warga bandar raya ini.
Ramai pengguna jalan raya yang memilih untuk berhenti di tepi jalan sepanjang Tanjung Lipat untuk menyaksikan sendiri keadaan ombak kuat berkenaan.
Malah ada yang dilihat mengambil peluang untuk merakamkan detik luar biasa itu secara dekat tanpa menghiraukan keselamatan diri masing-masing.
Namun, keadaan jalan yang padat dengan kenderaan berhenti di tepi jalan bertukar lengang selepas pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) turun padang mengawal lalu lintas di kawasan berhampiran pantai berkenaan.
Kehadiran pasukan polis jelas berjaya mengawal keadaan termasuk mengarahkan orang ramai yang berhenti supaya meneruskan perjalanan atas faktor keselamatan.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut menjalankan operasi pemantauan sebagai persediaan membantu orang awam sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.
Difahamkan, APM yang menjalankan operasi di Kampung Tanjung Aru turut memindahkan empat keluarga selepas rumah mereka rosak akibat ombak kuat dan air pasang.
-Deasoka