UMNO Penampang tidak tanding PRU15, beri laluan rakan komponen

UMNO Penampang tidak tanding PRU15, beri laluan rakan komponen

Kota Kinabalu: UMNO Bahagian Penampang akan memberi laluan kepada calon daripada rakan komponen untuk bertanding di Parlimen Penampang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ia sekali gus mengesahkan bahawa parti itu tidak akan meletakkan calon di kerusi berkenaan.

Ketuanya, Datuk Mohd Hasnol Ayub berkata, pihaknya tidak berhasrat untuk melobi sebagai calon dalam PRU nanti.

“Tidak (bertanding), di Penampang ini kita cuma jadi ahli komponen yang akan membantu rakan-rakan kita yang akan diketengahkan menjadi calon di Penampang.

“Kita tidak berhasrat untuk melobi untuk menjadi calon, kita cuma berhasrat untuk membantu rakan kita yang diberikan peluang untuk menjadi calon di kawasan Penampang,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Perwakilan UMNO Bahagian Penampang, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada UMNO Bahagian Penampang akan menawarkan diri untuk bertanding di Parlimen Penampang dalam PRU15.

Diminta mengulas lanjut, jika calon yang diketengahkan adalah dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Mohd Hasnol memaklumkan perkara itu belum diputuskan.

“Kita lihat pada penghujungnya, sebab sekarang ini kita tidak tahu keadaan yang sebenarnya tetapi yang kita tahu, yang jelas, ialah komponen di dalam Barisan Nasional (BN).

“Jadi di dalam BN kita ada MIC, MCA, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan UMNO itu sendiri,” katanya.

Beliau bagaimanapun turut menegaskan bahawa sebarang keputusan adalah daripada pihak tertinggi kepimpinan dan akur dengan sebarang tugasan yang diberikan.

Untuk rekod, Parlimen Penampang sebelum ini merupakan kerusi tradisi komponen BN iaitu Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) namun parti itu tidak lagi bersama BN selepas meninggalkan gabungan berkenaan pada 2018.

Kali terakhir UPKO memenangi kerusi Parlimen Penampang atas tiket BN ialah pada 2008 oleh presidennya ketika itu, Tan Sri Bernard Dompok.

Dompok gagal mempertahankan kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada 2013 selepas tewas di tangan calon PKR ketika itu, Datuk Darell Leiking.

Pada PRU 2018, Darell sekali lagi mempertahankan kerusi berkenaan atas tiket WARISAN menewaskan Ceasar Mandela Malakun daripada BN.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|