Keningau: Seorang lelaki warga emas rentung selepas kenderaannya bertembung dengan sebuah pacuan empat roda sebelum terbakar dalam kejadian di Jalan Sook – Nabawan, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Wahab Marjuki, 61, dipercayai terperangkap selepas tersepit di dalam kereta Proton Saga yang dipandunya selepas kemalangan berkenaan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.31 pagi
Katanya, susulan laporan itu, sepasukan enam anggota dan pegawai bersama sebuah jentera dikerah ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kebakaran berjaya dipadam oleh orang awam sebelum ketibaan jentera Bomba.
“Hasil pemeriksaan, pasukan operasi menemui seorang mangsa lelaki ditemui rentung di dalam kenderaan Proton Saga berkenaan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, mangsa kemudiannya dikeluarkan oleh pasukan operasi sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Katanya, pemandu kenderaan Isuzu DMax yang turut mengalami kecederaan ringan juga sudah dihantar oleh orang awam ke Hospital.
“Operasi terkawal pada jam 11.20 pagi dan pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain.
“Sebaik kepastian diperolehi, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.29 pagi,” katanya.
-Deasoka