Kota Kinabalu: Ketua – ketua cawangan UMNO Bahagian Sepanggar diseru supaya sentiasa turun padang dan bertemu dengan ahli di kawasan masing-masing.
Ketua UMNO Bahagian Sepanggar, Datuk Yakub Khan berkata, semua ketua cawangan perlu memainkan peranan untuk mendekati ahli-ahli mereka.
“Kita masih gagal menyemat roh perjuangan UMNO dalam diri kita jadi saya meminta supaya ketua cawangan yang jarang bertemu ahli cawangan dan menyeru agar ketua-ketua cawangan memainkan peranan mereka untuk mendekati ahli parti.
“Saya juga meminta supaya tiada perasaan berpuak-puak di kalangan ahli-ahli UMNO dan bertegur sapalah dengan orang-orang bukan ahli UMNO agar silaturahim antara kita dapat dikekalkan serta sifat saling membantu itu dapat diwujudkan di kalangan masyarakat sekeliling,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Perwakilan UMNO Bahagian Sepanggar, di sini, semalam.
Dalam ucapannya beliau turut mengajak supaya ahli UMNO supaya bersama-sama dengan kepimpinan Bahagian dalam mengatur gerak kerja agar dapat menawan semula Sepanggar.
“Dalam usaha menawan semula Sepanggar, ahli UMNO diharap dapat mengubah sikap dan mentaliti yang lama kepada baharu.
“Setia bersama kepimpinan jangan hanya menunggu orang kawasan datang tetapi datanglah kepada mereka dan bertanya khabar,” katanya.
Sementara itu, Yakub yang juga Timbalan ketua UMNO Sabah, turut mengiktiraf kepimpinan muda dan Wanita yang banyak menyumbang kepada kebangkitan UMNO.
“UMNO perlu disebarkan dan diperkasakan melalui pergerakkan pemuda dan puteri. Kepimpinan muda juga harus mencari mekanisma mendekati pengundi 18 tahun dan juga pengundi pertama kali, kerana mereka ini yang akan mengubah lanskap politik akan datang.
“Pergerakkan pemuda dan uuteri harus bijak dan memberikan tawaran-tawaran baharu kepada pengundi 18 tahun agar mereka juga dapat merasai perjuangan UMNO.
“Begitu juga orang muda profesional mereka juga harus diberi peluang dan ruang agar dapat menabur segala kepakaran mereka dalam membantu parti mengembalikan UMNO sebagai pilihan rakyat,” katanya.
Sehubungan itu, Yakub berharap pergerakan pemuda dan puteri memperbanyakkan aktiviti parti dalam mendekati golongan muda yang tidak berparti lagi.
-Deasoka