Lelaki ditahan bersama 31 botol air ketum

Lelaki ditahan bersama 31 botol air ketum

Papar: Seorang lelaki tempatan yang dipercayai menjalankan aktiviti pengedaran air ketum ditahan dalam operasi dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar, semalam.

Dalam operasi jam 8 malam itu, lelaki berusia 20-an terbabit ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) di kawasan pekan Papar, di sini.

Air ketum yang dipercayai disediakan untuk dijual dirampas daripada suspek berusia 20-an. Pix Ihsan PDRM

Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintendam Batholomew Ak Umpit berkata, hasil siasatan awal, pihaknya percaya suspek terbabit dengan aktiviti penjualan air ketum.

“Ketika ditahan, polis turut berjaya merampas sebanyak 31 botol plastik berisi air ketum daripada suspek.

“Suspek terus ditahan dan dibawa balik ke IPD Papar untuk tindakan selanjutnya dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Batholomew berkata, kejayaan tangkapan ini adalah usaha polis dalam mengatasi masalah penyalahgunaan dadah di daerah Papar.

Katanya, ia juga sebagai salah satu langkah terbaik dalam mencegah sebarang aktiviti jenayah di daerah Papar.

“Orang ramai juga dinasihatkan untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan dadah dan jenayah di daerah ini kepada pihak polis atau IPD Papar khususnya untuk tindakan segera,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|