Semporna: Empat kenderaan musnah terbakar dalam kejadian kebakaran di Pengkalan Tanjung Kapor, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian jam 11 malam itu, dua daripada kenderaan berkenaan musnah sepenuhnya manakala dua lagi hanya mengalami hampir 40 peratus kerosakan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.22 malam.
Katanya, susulan laporan itu, sepasukan lima anggota dan pegawai bersama sebuah jentera dikerah ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kebakaran membabitkan sebuah kereta Perodua Myvi dan Proton Saga bersama dua lagi kenderaan Perodua Viva yang terletak berhampiran.
“Pasukan bomba terus bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran hos sepanjang 30 meter menggunakan sumber air tangki jentera,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, tiada mangsa terlibat dilaporkan dalam kejadian itu dan api berjaya dikawal pada jam 11.50 malam.
Katanya, pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.26 tengah malam.
-Deasoka