Ketua Kampung digesa ajak penduduk ambil dos penggalak

Ketua Kampung digesa ajak penduduk ambil dos penggalak

Kota Kinabalu: Ketua Kampung dan Pemaju Mukim digesa supaya membantu kerajaan dalam usaha menggalakkan pengambilan vaksin dos penggalak bagi meningkatkan tahap imunisasi Covid-19 rakyat negeri ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Yakub Khan, berkata pengambilan vaksin penggalak penting untuk kebaikan diri dan masyarakat sekeliling.

Yakub (tengah) meraikan Ketua Kampung dan Ketua Gereja sekitar DUN Karambunai sempena sambutan Krismas.

“Kerajaan sekarang ini tengah menjalankan pemberian ‘booster’ kepada rakyat dan kita berharap agar Ketua-Ketua Kampung dan Pemaju Mukim membantu kerajaan untuk mengajak rakyat sekeliling mengambil ‘booster’.

“Ini kerana ia baik untuk diri kita sendiri, orang sekeliling dan masyarakat keseluruhannya, termasuk di kawasan Sepanggar ini,” katanya pada perjumpaan dengan Ketua-Ketua Kampung mewakili masyarakat Kadazandusun dan Ketua-Ketua Gereja di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai, di sini.

Sementara itu, Yakub yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, berkata peranan Ketua-Ketua Kampung dan Pemaju Mukim penting sebagai mata dan telinga kerajaan di peringkat akar umbi.

Katanya, ia penting dalam memastikan segala masalah yang dihadapi rakyat sesebuah kampung dapat dikenal pasti dan dimaklumkan kepada wakil rakyat untuk tindakan yang sewajarnya.

Jelasnya, secara keseluruhan terdapat 24 kampung dan 10 kawasan taman perumahan di sekitar kawasan DUN Karambunai.

Mengenai majlis berkenaan, Yakub berkata beliau berbesar hati dapat meraikan Ketua- Ketua Kampung dan Pemaju Mukim mewakili masyarakat Kadazandusn di Karambunai sempena menyambut Krismas kali ini.

“Marilah kita jadikan sambutan Krismas ini sebagai platform untuk mengukuhkan perpaduan demi kebaikan rakyat di kawasan Sepanggar.

“Semoga sambutan Krismas ini kita dijauhi daripada pendemik Covid-19,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|