82 pengunjung, pemilik pusat hiburan dikompaun RM148,000

82 pengunjung, pemilik pusat hiburan dikompaun RM148,000

Penampang: Seramai 82 pengunjung sebuah pusat hiburan di Jalan Penampang Baru, di sini, yang sedang asyik berhibur dikompaun RM123,000 selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN), awal pagi tadi.

Dalam serbuan selama 4 jam bermula kira-kira jam 1 pagi itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.

Mohd Haris memeriksa dokumen pengunjung ketika serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Penampang Baru, Penampang.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, serbuan ke atas premis pusat hiburan itu dilakukan hasil aduan awam yang diterima mengatakan pusat hiburan berkenaan beroperasi malah sehingga lewat pagi.

Katanya, hasil pemeriksaan di pusat hiburan berkenaan didapati muzik sedang dimainkan dan ramai pengunjung yang bersesak-sesak sedang berhibur.

Anggota polis mengeluarkan kompaun kepada pengunjung di pusat hiburan berkenaan.

“Pemeriksaan didapati pengunjung yang berada di dalam premis itu tidak mengamalkan penjarakan fizikal serta ada pengunjung tidak membuat imbasan kod MySejahtera.

“Pasukan polis menjalankan penguatkuasaan dengan mengeluarkan kompaun kepada 82 pengunjung dan setiap seorang dikenakan kompaun RM1,500,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan.

Mohd Haris bersama pegawai dan anggota melakukan serbuan di sebuah pusat hiburan selepas menerima aduan awam.

Beliau berkata, pemilik premis ditahan mengikut Seksyen 3 Public Entertainment Ordinance 1958.

Katanya, kompaun RM25,000 turut dikeluarkan terhadap pemilik premis berkenaan menjadikan nilai keseluruhan kompaun berjumlah RM148,000.

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk tidak terbabit atau berkunjung ke premis-premis pusat hiburan yang beroperasi secara sembunyi-sembunyi.

“Polis khususnya IPD Penampang tidak berdiam dan sentiasa menjalankan risikan dari semasa ke semasa bagi tujuan serbuan dalam usaha kerajaan menghentikan wabak Covid-19 di negara ini khususnya masyarakat daerah Penampang,” jelasnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|