Sandakan: Seorang lelaki yang hilang selepas keluar memancing di laut berhampiran Pulau Bai, di sini, ditemui lemas, hari ini.
Mangsa, Muhamad Alisan Muhamat, 31, ditemui terapung di perairan Pulau Semayang oleh pasukan operasi bomba bersama penduduk kampung pada jam 9.39 pagi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.29 pagi.
Katanya, susulan laporan itu, sepasukan lima anggota dan pegawai bersama sebuah bot dikerah ke lokasi penemuan.
“Operasi turut dijalankan bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), dan Pasukan Polis Marin (PPM).
“Pencarian kemudiannya dijalankan membabitkan seramai 24 anggota dan lima bot daripada semua agensi terbabit,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, mangsa akhirnya ditemui dalam keadaan terapung di kedudukan kira-kira radius 200 meter dari Kampung Semayang, di sini.
Katanya, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Jeti Pangkalan Maritim menggunakan bot PPM untuk tindakan selanjutnya.
“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.02 pagi,” katanya.
-Deasoka