Lelaki ditahan bawa daun ketum 80 kilogram rentas daerah

Lelaki ditahan bawa daun ketum 80 kilogram rentas daerah

Keningau: Tindakan seorang lelaki menyalahgunakan kebenaran rentas daerah untuk perniagaan bagi membawa daun ketum akhirnya menerima padah apabila dia ditahan dalam sekatan jalan raya (SJR) Op Covid-19 di Kilometer 7, Jalan Tambunan – Kota Kinabalu, semalam.

Dalam kejadian jam 11.40 pagi itu, pasukan bertugas membabitkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) itu bertindak menahan kereta pacuan empat roda yang dipandu suspek berusia lingkungan 30 tahun.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, hasil pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan dipandu suspek menemui 10 bungkusan plastik warna hitam yang berisi daun ketum di bahagian belakang.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek dalam perjalanan pulang ke Ranau selepas memperoleh bekalan daun ketum dari Tenom.

“Suspek terbabit didapati menyalahgunakan surat rentas daerah untuk tujuan lain dan daun ketum seberat 80 kilogram yang diperoleh itu diproses menjadi air ketum sebelum diedarkan di Ranau.

“Suspek dipercayai menjalankan kegiatan ini sejak awal tahun ini,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, suspek tempatan itu direman selama empat hari mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1852 kerana memiliki daun ketum yang mengandungi Mitragynine yang boleh dihukum mengikut Seksyen 30(5) akta sama.

“Jila sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, shahrudin berkata, gejala penyalahgunaan ketum harus dipandang serius kerana ia mengandungi bahan alkaloid psikoaktif yang menyebabkan ketagihan.

Katanya, pihak polis ingin menegaskan bahawa memiliki atau menjual sebarang bentuk dedaun atau cecair ketum adalah satu kesalahan.

“Polis mengalu-alukan kerjasama serta maklumat daripara orang awam untuk sama – sama membanteras kegiatan penyalahgunaan ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|