Industri tenusu Sabah berkembang di bawah Desa

Industri tenusu Sabah berkembang di bawah Desa

Keningau: Industri lembu tenusu Sabah dijangka akan terus berkembang pesat
menerusi Pusat Ternakan Bersepadu Keningau (KILC), di bawah Desa Keningau
Livestock Industries Sdn Bhd (DKLI) yang baharu ditubuhkan.

DKLI ditubuhkan apabila Desa Cattle (Sabah) Sdn Bhd, sebuah syarikat milik penuh negeri, mengambil alih KILC daripada Lembaga Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) pada 1 Julai lalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berharap dengan pengambilan alih projek itu akan memgembangkan lagi industri tenusu di negeri ini.

“Sekarang Desa telah mengambil alih projek ini, kita mengharapkan industri lembu tenusu negeri berkembang.

“Ini akan melengkapkan projek ternakan tenusu Desa yang sedia ada di Kundasang, yang kini berjalan lancar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas lawatannya di KILC di Sook, semalam.

Desa kini akan memainkan peranan utama untuk pengembangan industri tenusu dan lembu di Sabah.

Jumlah awal pelaburan modal yang diperlukan untuk pembangunan projek itu dianggarkan berjumlah RM118 juta dan dibahagikan kepada dua fasa.

Fasa pertama projek di bawah SEDIA berjumlah RM57.3 juta telah siap pada 19 Ogos 2013 melalui pembiayaan Persekutuan.

Menerusi usaha baharu ini, DKLI akan melakukan kerja pengembangan dengan kos RM87.83 juta untuk meningkatkan keupayaannya menampung 2,000 ekor lembu tenusu dan daging lembu.

Dengan memiliki kemampuan untuk menempatkan sebanyak 2,000 lembu tenusu, DKIL menyasarkan pengeluaran susu tahunan sebanyak 8.5 juta liter dan 1,000 ekor lembu yang bersamaan dengan 500 tan metrik daging lembu setahun.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|