36 kes jenayah siber babitkan kerugian RM111,999

36 kes jenayah siber babitkan kerugian RM111,999

Kota Belud: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud merekodkan sebanyak 36 kes membabitkan jenayah siber sepanjang 1 Januari hingga 15 Julai tahun ini.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Sahimi Husin berkata, semua laporan kes yang diterima di daerah itu membabitkan kerugian mencecah RM111,999.

Katanya, siasatan yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) IPD Kota Belud mengesan palbagai modus operandi yang digunakan penjenayah siber untuk mengaut keuntungan mudah.

“Antara yang dikesan membabitkan jenayah ini ialah penipuan beli barang atas talian, pinjaman wang yang tidak wujud di internet dan Macau Scam.

“Malah ada juga laporan yang diterima menggunakam taktik menyamar sebagai rakan atau kawan menerusi aplikasi ‘Whatsapp’ untuk meminjam duit daripada mangsa jenayah siber,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sahimi berkata, berikutan peningkatan kes penipuan jenayah siber itu, orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau kemusykilan berhubung jenayah siber ini boleh menghubungi BSJK IPD Kota Belud untuk penjelasan lebih lanjut.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di daerah Kota Belud, Sahimi berkata, setakat ini hanya tiga daripada sembilan kawasan masih dikuatkuasakan.

Katanya, enam lagi kawasan yang diisytiharkan PKPD sebelum ini sudah ditamatkan secara rasminya.

“Hanya tiga kawasan masih dalam tempoh PKPD ialah Kampung Tawadakan yang dijadualkan sehingga 10 Ogos depan manakala dua lagi kawasan iaitu Kampung Pinolobuh Bukid dan Kampung Siasai Dundau akan tamat Sabtu ini.

“Sehubungan itu, semua penduduk yang berada dalam kawasan terbabit diminta untuk terus patuh kepada setiap prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Setiap penduduk juga harus kekal berada di rumah bersama keluarga masing-masing dan tidak dibenarkan keluar rumah sekiranya tiada sebarang kecemasan atau keperluan mendesak,” tegasnya.

Sahimi berkata, mereka yang ingkar arahan yang dikuatkuasakan boleh dikenakan tindakan tegas.

Namun katanya, sehingga hari ini, tiada sebarang laporan atau aduan diterima di kawasan PKPD dan pematuhan juga berada pada tahap baik memandangkan tidak terdapat sebarang kenaikan kes jangkitan COVID-19.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|