Gol minit akhir selamatkan maruah Sabah FC

Gol minit akhir selamatkan maruah Sabah FC

Kota Kinabalu: Sabah FC terselamat daripada dua kekalahan berturut-turut apabila berjaya mendapatkan gol minit akhir untuk berkongsi satu mata dengan Sri Pahang FC di Stadium Likas, di sini, malam tadi.

Walaupun ketinggalan di minit-minit akhir, namun serangan berterusan yang diketuai penyerang import, Josip Ivancic akhirnya membuahkan hasil dengan jaringan minit ke-95.

Aksi serangan bertali arus di separuh masa pertama tidak menghasilkan sebarang gol buat kedua-dua pasukan apabila aksi cemerlang pertahanan dan penjaga gol masing-masing berjaya menyelamat gawang daripada dibolosi.

Pemain import Sabah, Saddil Ramdani hampir mencetak nama sebagai penjaring gol pertama perlawanan pada minit ke-36 namun percubaan yang dilakukannya sedikit tersasar dari gawang Sri Pahang FC.

Sebaik babak kedua bermula, skuad Badak terus mempertingkatkan serangan dan akhirnya mendapat gol pertama hasil geraka menarik Madinda dan Amri Yahya yang membuka peluang kepada Ivancic menjaringkan gol pertama Sabah FC.

Bagaimanapun, Sri Pahang FC tidak berputus asa untuk melancarkan serangan sebelum berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-66, menerusi Muhamad Baqiuddin Shamsudin.

Sri Pahang FC hampir membawa pulang tiga mata apabila mendahului perlawanan dengan gol kedua yang dijaringkan Abdul Malik Mat Arif pada minit ke-93.

Tersentak dengan gol berkenaan, pemain Sabah FC meneruskan serangan demi serangan di masa kecederaan yang berbaki dua minit sebelum akhirnya memperoleh gol dari Ivancic.

Tiupan wisel gol berkenaan menjadi penamat perlawanan dan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan satu mata.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|