Penunggang maut dalam nahas tiga kenderaan

Penunggang maut dalam nahas tiga kenderaan

Kota Kinabalu: Seorang penunggang motosikal maut dalam kejadian kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Tuaran Bypass, berhampiran Suria Inanam, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 9.40 pagi itu, mangsa, Mohammad Armin Abdullah, 20, disahkan meninggal dunia selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah kereta Perodua Viva.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang maut bergerak dari arah Likas menuju ke Kampung Warisan.

Bagaimanapun katanya, kereta Perodua Viva yang dipandu wanita berusia 38 tahun tiba-tiba keluar dari simpang menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak dan terus terlanggar sebelum tercampak ke lorong kanan.

“Ketika kejadian, sebuah lori yang dipandu lelaki berusia 44 tahun di lorong kanan terus mengelak sebelum terbabas dan merempuh dua tiang elektr serta papan tanda jalan.

“Akibat daripada kemalangan itu, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan HQE II.

“Manakala pemandu lori dan Perodua Viva tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|