Ketidakpatuhan SOP pendorong peningkatan kes Covid di Sabah

Ketidakpatuhan SOP pendorong peningkatan kes Covid di Sabah

Kota Kinabalu: Ketidakpatuhan kepada prosedur operasi standart (SOP) antara pendorong kepada jumlah peningkatan kes Covid-19 di negeri ini.

Jurucakap Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, setakat hari ini, Sabah telah mencatatkan 913 kes, iaitu meningkat sebanyak (172) kes berbanding (741) kes yang direkodkan semalam.

“Seluruh daerah di Negeri Sabah mencatatkan perubahan angka kes positif COVID19 yang terus meningkat dan dengan jumlah catatan sebanyak (500) kes daripada Saringan Kontak Rapat.

“Dapat disimpulkan masih terdapat kebarangkalian tinggi berlakunya aktiviti ketidakpatuhan SOP yang telah digariskan sungguhpun pelbagai seruan dan saranan telah dilakukan oleh pihak kerajaan,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media hariannya, hari ini.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata, lebih separuh kumulatif kes harian (500) kes atau 54.82 peratus daripada kes hari ini berpunca dari saringan kontak rapat di mana (138) kes daripadanya dikesan di daerah Kota Kinabalu.

Jelasnya lagi, kluster sedia ada pula menambah (162) kes atau 17.8 peratus manakala sarigan bergejala merekodkan (121) kes atau 13.25 peratus.

“Tiga kluster baharu, semuanya dilaporkan di Keningau iaitu Kluster Bayangan (Kluster Komuniti), Kluster Bariawa Laut (Kluster Komuniti) dan Kluster Menawo Baitah (Kluster Tempat Kerja).

“Sejumlah 77.9 peratus daripada kes-kes hari ini adalah dalam Kategori 1 dan Kategori 2.

“Kategori 1, iaitu (321) kes adalah mereka yang tidak mengalami sebarang simptom dan Kategori 2 iaitu sebanyak (389) kes sekadar mengalami simptom ringan (mild).

“Kedua kategori pesakit ini tidak perlu dimasukkan di hospital untuk rawatan, sekadar ditempatkan di PKRC,” katanya.

Terdahulu, Masidi berkata, peningkatan mendadak kes pada hari ini telah menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 81,844 kes.

Tambahnya, sembilan kes kematian dicatatkan pada hari ini iaitu Kota Kinabalu dan Sipitang mencatatkan tiga kes bagi setiap daerah manakala Kudat, Penampang dan Papar masing-masing mencatatkan satu kes.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|