Pegawai Imigresen didenda RM12,000

Pegawai Imigresen didenda RM12,000

Kota Kinabalu: Seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dikenakan denda sebanyak RM12,000 selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Tertuduh, Cassandraella Jalius, 27, membuat pengakuan menerima wang suapan sebanyak RM3,200 selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Mengikut kertas pertuduhan, pada 7 dan 30 Disember 2019, bertempat di sebuah bank di Ranau, tertuduh sebagai seorang penjawat awam menerima wang sebanyak RM1,000 dan RM2,200 daripada seorang individu yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi tertuduh.

Tertuduh mengaku bersalah pada 10 Mei lalu atas kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574).

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM6,000 bagi setiap pertuduhan dan sekiranya gagal bayar, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara selama enam bulan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nartiah F Mirchelle Sambutan manakala tertuduh diwakili peguam Farazwin Haxdy.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|