Kunjungan hormat CEO ESSCOM ke atas TYT Sabah

Kunjungan hormat CEO ESSCOM ke atas TYT Sabah

Kota Kinabalu: Tuan Yang Terutama Yang di Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin menerima kunjungan hormat daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Dr Jamaluddin Mohd Ali, di Istana Negeri, di sini, hari ini.

Rombongan ESSCOM tiba jam 9.30 pagi di perkarangan Istana Negeri dengan diringi Pengarah Bahagian Khidmat Keurusetiaan ESSCOM, Nurul Ellda Baharudin dan Ketua Penolong Pengarah Khidmat Keurusetiaan ESSCOM, Ab Rasil Hajatil.

Dalam kunjungan hormat berkenaan, Jamaluddin memaklumkan kepada Tu Juhar mengenai pelantikannya sebagai CEO ESSCOM baharu menggantikan Noor Alam Khan A Wahid Khan yang dinaikan pangkat dan dilantik sebagai Pegawai Pembangunan Negeri (SDO) berkuatkuasa pada 7 September tahun lalu.

Beliau turut memberikan penerangan ringkas mengenai peranan serta fungsi bahagian awam ESSCOM yang sentiasa menyokong dan mengimbangi peranan bahagian keselamatan khususnya dalam melaksanakan program-program kemasyarakatan.

Ia termasuk program gerak saraf dalam usaha memenangi hati dan minda masyarakat pantai timur supaya sentiasa memberikan sokongan kepada operasi-operasi keselamatan ESSCOM.

Jamaluddin turut menyatakan sokongan itu penting bagi memastikan ia tidak memberikan ruang kepada anasir-anasir luar terutamanya tali-tali barut dan penjenayah rentas sempadan daripada bertapak di negeri ini.

Sementara itu, Tun Juhar turut menzahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan atas kunjungan hormat berkenaan.

Tun turut menyatakan harapan supaya ESSCOM terus memainkan peranan sebagai sebuah entiti keselamatan yang disegani yang berperanan mempertahankan keselamatan dan kedaulatan pantai timur Sabah daripada diceroboh oleh anasir-anasir luar khususnya ancaman daripada Kumpulan Militan Abu Sayyaf daripada selatan Filipina.

Kunjungan hormat berkenaan diakhiri dengan sesi bertukar-tukar cendera kenangan dan sesi Fotografi.

-Deasoka

Share

Written by:

1,496 Posts

View All Posts
Follow Me :
error: Content is protected !!