IPD Keningau atur gerak pasukan pematuhan Covid-19 di 3 lokaliti

IPD Keningau atur gerak pasukan pematuhan Covid-19 di 3 lokaliti

Keningau: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau sudah mengatur gerak pasukan pematuhan Covid-19 untuk turun padang ke seluruh kampung di daerah ini untuk pemantauan dan hebahan.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, setakat ini, Keningau hanya mempunyai tiga lokaliti yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Katanya, ia membabitkan Kampung Patikang Ulu dan Kampung Kauran yang akan tamat pada 10 Ogos depan manakala bagi Kampung Sabana Fasa Satu pula tamat pada 7 Ogos ini.

“Semalam, tiga kluster baru direkodkan di daerah Keningau iaitu Kluster Bayangan, Kluster Bariawa Laut dan Kluster Menawo Baitah.

“Ketiga-tiga kluster baru ini dikategorikan sebagai kluster komuniti pergaulan ahli keluarga,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Shahrudin berkata, IPD Keningau juga ingin menyeru masyarakat di daerah ini khususnya pemimpin di semua kampung supaya bersama-sama memainkan peranan dalam pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Katanya, orang awam juga dinasihatkan supaya membantu menyalurkan sebarang maklumat berkaitan perlanggaran SOP menerusi talian aduan Covid-19 yang dilancarkan pegawai daerah Keningau sebelum ini.

“Sebarang maklumat boleh disalurkan menerusi talian 087-336130 dan 019-2186913 (PDRM) dan 019-6051564 (KKM).

“Untuk rekod, sepanjang tempoh Januari 2021 sehingga ke hari ini, PDRM Keningau sudah mengeluarkan sebanyak 160 keping kompaun atas pelbagai kesalahan pelanggaran SOP Covid-19,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|