Lelaki bawa rokok seludup bernilai RM173,320 melalui jalan tikus dicekup

Lelaki bawa rokok seludup bernilai RM173,320 melalui jalan tikus dicekup

Kota Kinabalu: Cubaan seorang lelaki membawa 2,390 bungkusan rokok seludup melalui jalan tikus gagal apabila ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah di Jalan Kampung Manduring, Sapi Nangoh, Beluran, semalam.

Suspek lelaki berusia 39 tahun menaiki kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux ditahan anggota Batalion 20 Beluran yang sedang menjalankan rondaan snap check dan ronda cegah jenayah di laluan tikus RCP Sapi Nangoh, jam 9.30 pagi.

Komander Briged PGA Sabah Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, sepasukan Batalion 20 PGA Sabah yang sedang menjalankan rondaan di laluan tikus menahan sebuah kenderaan Toyota Hilux dalam keadaan mencurigakan.

Suspek bersama rokok seludup yang ditahan anggota PGA Batalion 20 Beluran.

Katanya, hasil pemeriksaan di dalam kenderaan bahagian penumpang belakang menemui pelbagai rokok tanpa cukai.

“Jumlah rokok yang dirampas sebanyak 2,390 bungkus dianggarkan bernilai RM173,320.68

“Lelaki terbabit ditahan dan diperiksa kerana dipercayai menyimpan dan menjual rokok tidak mendapat kelulusan Kastam dan tiada cukai,” katanya dalam sidang media di Dewan Latihan Briged Sabah, di sini, hari ini.

Suspek bersama rokok seludup yang ditahan anggota PGA Batalion 20 Beluran.

Menurutnya, semua rampasan dan tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran untuk tindakan lanjut.

“Siasatan masih diteruskan dan kejayaan ini hasil risikan dan maklumat orang awam kepada Batalion 20 diketuai oleh Pegawai Memerintah, Asisten Komisioner Mohamed Rafiq Mohamed Mustafa.

Antara rokok seludup yang dirampas.

“Polis menyeru masyarakat supaya memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti yang menyalahi undang-undang,” katanya.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|