Enam rumah di Kampung Panji musnah terbakar

Enam rumah di Kampung Panji musnah terbakar

Semporna: Ratusan penduduk rumah setinggan, di sini, panik selepas beberapa rumah di Kampung Panji, di sini, musnah terbakar, petang semalam.

Bagaimanapun, dalam kejadian jam 6 petang itu, tindakan pantas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Semporna, berjaya mengawal api kebakaran daripada terus merebak.

Kebakaran di Kampung Panjir, Semporna, petang semalam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), JBPM Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi Malaysian Emergency Response Services 999 (MERS 999) pada jam 6.07 petang.

Katanya, sepasukan anggota yang diketuai Ketua Balai, Penolong Penguasa Fazizul Hizam Borhan dikerah ke lokasi kejadian bersama sebuah jentera, van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dan kenderaan utiliti.

Enam rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Panji, Semporna.

“Operasi turut dibantu Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Semporna, dengan kekuatan logistik Bot Aluminium dan bot Kevlar serta pasukan BBP Kunak, yang hadir bersama sebuah jentera dan ERMS.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, operasi segera dijalankan bagi mengawal api daripada terus merebak berikutan keadaan rumah berstruktur kayu selain kedudukan rapat antara satu sama yang lain,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, api kebakaran berjaya dikawal pada jam 7.54 malam dan kemusnahan hanya membabitkan enam rumah jenis tidak kekal dan sebuah kedai runcit.

Katanya, operasi kemudiannya berjaya ditamatkan pada jam 9.30 malam selepas dipastikan tiada lagi punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula dikesan.

“Tiada sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan namun punca serta anggaran kerugian masih dalam siasatan Bahagian Penyiasatan Kebakaran, Zon Tawau,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|