Kota Kinabalu: kira-kira 10 buah rumah atas air musnah dalam kebakaran di Kampung Tanjung Aru Baru, di sini, pagi tadi.
Kebakaran jam 7 pagi itu dipercayai bermula dari sebuah rumah sebelum merebak ke kediaman lain sekitar penempatan atas air berkenaan.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Affendy K Ramin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.08 pagi sebelum sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu dan Penampang tiba di lokasi kejadian lima minit kemudian.
Katanya, sebaik tiba di lokasi, didapati api sedang marak memusnahkan 10 rumah papan atas air.
“Anggota bomba yang turut dibantu penduduk kampung berjaya mengawal kebakaran daripada merebak dan menyelamatkan sebahagian lagi rumah berdekatan.
“Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dan api berjaya dikawal jam 7.58 pagi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, punca kejadian serta jumlah kerugian masih disiasat Unit Forensik Kebakaran.
Operasi memadam turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam (APM), Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).
Difahamkan, pada 25 Mei lalu, di lokasi berdekatan, sebanyak 25 rumah di atas air, Kampung Tanjung Aru, turut musnah dalam kebakaran.
– Deasoka