Kota Kinabalu: Kira-kira 34 buah keluarga terlibat dengan insiden kebakaran di Kampung Tanjung Aru Baru, pagi tadi.
Dalam kejadian berlaku jam 7 pagi itu telah memusnahkan sebanyak 10 buah rumah atas air di kampung berkenaan.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Shahelmey Yahya berkata, Pusat Pemindahan Sementara (PPS) akan diaktifkan di lokasi terdekat bagi menempatkan mangsa-mangsa yang terlibat dalam kebakaran itu.
“Pagi ini saya bersama dengan Mayor Bandaraya Kota Kinabalu dan UPPM Tanjung Aru, mereka akan mengaktifkan Pusat Pemindahan Sementera bagi menempatkan mangsa-mangsa kebakaran dan seterusnya menghulur bantuan yang sewajarnya.
“Sekarang ini adalah proses pendaftaran mangsa-mangsa untuk mengambil data-data mereka, dan akan di susuli dengan tindakan selanjutnya,” katanya.
Terdahulu, Shahelmey turut mengadakan tinjauan rapat ke kawasan insiden dan memantau perkembangan semasa di lokasi kejadian.
Hadir sama adalah Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Noorliza Awang Alip dan UPPM N22 Tanjung Aru, Reduan Aklee.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Affendy K Ramin dalam kenyataannya pagi tadi mendedahkan bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 7.08 pagi.
Sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu dan Penampang kemudiannya digegaskan ke lokasi sebelum api berjaya dikawal jam 7.58 pagi daripada terus merebak ke kawasan lain.
Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan sementara punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan bomba.
-Deasoka