Beluran: Sekurang-kurangnya 10 buah rumah penduduk Kampung Keniogan, di sini, rosak selepas dibadai ribut kencang dalam kejadian yang dilaporkan berlaku, petang semalam.
Angin ribut dan hujan lebat yang dikatakan mula ‘mengganas’ kira-kira jam 5 petang itu turut menyebabkan tiang-tiang elektrik di kampung berkenaan tumbang.
Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda berkata, kejadian angin kencang itu kebanyakkan menyebabkan kerosakkan bumbung rumah penduduk.
Katanya, seorang penduduk kampung melaporkan rumah yang didiami mengalami kerosakan sehingga 50 peratus akibat diterbangkan angin.
“Dalam kejadian imi, bekalan elektrik keseluruhan kampung juga terputus akibat tiang elektik yang tumbang.
“Selain itu, terdapat juga pokok tumbang yang mengakibatkan papan tanda sekolah kampung berkenaan rosak,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Kasim berkata, kejadian sudah dimaklumkan kepada agensi berkaitan untuk mengambil tindakan selanjutnya.
Katanya, setakat ini tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
– Deasoka