Rokok, arak bernilai RM231,760 dirampas

Rokok, arak bernilai RM231,760 dirampas

Kota Kinabalu: Seorang lelaki yang menjalankan aktiviti penjualan rokok dan minuman arak tidak bercukai di sebuah kedai runcit di Kampung Tongod, Pamol, Beluran, ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA), semalam.

Operasi jam 1 petang yang diketuai Pegawai Memerintah Batalion 20 PGA Beluran, Asisten Komisioner Mohamed Rafiq Mohamed Mustafa, turut menyerbu sebuah lagi rumah yang dijadikan tempat penyimpanan di Kampung Manduing, Botition, di sini, selepas dipandu arah oleh suspek.

Hasil kedua-dua serbuan, PGA berjaya merampas ratusan kotak rokok dan arak bernilai keseluruhan RM231,760 termasuk cukai.

Kotak berisi rokok dan minuman keras yang dirampas anggota PGA Batalion 20 di Kampung Tongod, Pamol, Beluran.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, suspek yang ditahan adalah seorang warga tempatan berusia 27 tahun.

Katanya, suspek ditahan selepas didapati menjalankan aktiviti penjualan barang tidak bercukai di kedai runcit yang diserbu.

“Hasil pemeriksaan, pasukan PGA merampas 986 botol dan 144 tin minuman keras bersama 2,470 kotak rokok.

“Hasil siasatan selanjutnya, suspek kemudiannya mengaku menyimpan bekalan arak dan rokok di sebuah lagi rumah di kampung lain,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Lelaki yang ditahan selepas menjalankan aktiviti penjualan rokok dan minuman keras.

Mohd Abduh berkata, dengan dipandu arah suspek, pasukan PGA terus menyerbu rumah berkenaan dan merampas 242 tin minuman keras dan 9,580 rokok pelbagai jenama.

Katanya, suspek dan semua barangan tidak bercukai yang dirampas di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran untuk tindakan selanjutnya.

“Suspek ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|