Nenek bersama tiga cucu selamat, perahu terbalik

Nenek bersama tiga cucu selamat, perahu terbalik

Kota Kinabalu: Seorang nenek dan tiga cucunya hampir lemas selepas perahu dinaiki mereka terbalik ketika menyelamatkan diri dalam kebakaran di Kampung Tanjung Aru Baru, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 7 pagi itu, semua mangsa berusia satu hingga lima tahun terbabit bagaimanapun berjaya diselamatkan penduduk kampung yang menyedari kejadian berkenaan.

Ibu kepada salah seorang mangsa, Siti Fatimah Yusuf, 27, berkata, ketika kejadian, keadaan sangat kelam kabut selepas api yang semakin marak dan merebak ke rumah berhampiran.

Norshila memeluk erat anak lelakinya yang hampir lemas bersama seorang lagi anak perempuannya (kanan) selepas perahu yang mereka naiki terbalik sebelum diselamatkan penduduk kampung dalam kebakaran di Kampung Tanjung Aru Baru, Kota Kinabalu.

Katanya, penduduk yang panik terus cuba menyelamatkan diri termasuk menaiki perahu untuk keluar daripada kawasan kebakaran.

“Ketika itu, saya berada di perahu lain manakala anak perempuan saya berusia dua tahun bersama dua sepupunya serta nenek mereka berada di perahu lain.

“Bagaimanapun, perahu dinaiki mereka tiba-tiba terbalik dan terus karam. Saya lihat anak saya terkapai-kapai meminta tolong sebelum diselamatkan penduduk,” katanya ketika ditemui di balai raya kampung berkenaan, hari ini.

Menurutnya, dia bersyukur kerana kejadian itu disedari penduduk kampung yang terus terjun menyelamatkan anaknya.

Ibu kepada dua lagi kanak-kanak, Norshila Muni, 28, berkata, dia menyedari dua anaknya berdepan risiko lemas selepas perahu dinaiki mereka terbalik dan karam.

Siti Fatimah bersama anak perempuannya berusia dua tahun ditempatkan di balai raya selepas rumah mereka turut musnah dalam kebakaran di Kampung Tanjung Aru Baru, Kota Kinabalu.

“Saya tidak tahu bagaimana perahu mereka terbalik walaupun ketika itu perahu kami tidak jauh dari mereka.

“Mujur ada penduduk kampung segera bertindak menyelamatkan anak saya yang ketika itu kelihatan sudah seperti lemas,” katanya.

Sementara itu, nenek kepada tiga kanak-kanak berkenaan, Kartinah Usman, 40-an berkata, walaupun bersama mereka, namun dia tidak sempat menyelamatkan semua cucunya.

Katanya, sehingga kini dia masih dalam keadaan terkejut kerana bukan saja kehilangan harta benda dan wang tunai tetapi hampir kehilangan nyawa ketika menyelamatkan diri dalam kebakaran.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|