Lebih sejam duduk atas pokok Ara

Lebih sejam duduk atas pokok Ara

Kota Kinabalu: Seorang lelaki sanggup duduk lebih sejam di atas pokok kerana tidak mahu ditahan polis selepas menceroboh pejabat Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), di sembulan, di sini, malam tadi.

Bagaimanapun, lelaki terbabit akhirnya akur dan menuruti arahan pihak berkuasa yang mengarahkannya untuk turun menyerah diri kepada polis.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, suspek berusia 32 tahun itu disedari menceroboh masuk pejabat kementerian berkenaan oleh pengawal keselamatan kira-kira jam 9 malam.

Katanya, sebaik disedari, suspek yang dikejar terus melarikan diri sebelum memanjat sebatang pokok kayu ara di kawasan bangunan kementerian berkenaan untuk menyembunyikan diri.

Rakaman video lelaki pecah rumah memanjat pokok bagi mengelak ditahan di kawasan Kementerian Pembangunan Luar
Bandar, Jalan Sembulan, Kota Kinabalu, malam tadi. Video/Fadhzrul

“Pasukan polis yang menerima laporan terus bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati suspek masih berada di atas pokok berkenaan

“Operasi turut dibantu pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang hadir ke lokasi kejadian selepas menerima makluman,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, suspek yang juga seorang pengganggur pada awalnya berdegil dan tidak mahu menuruti arahan diberikan.

Namun katanya, selepas lebih sejam dipujuk oleh polis dan anggota bomba, suspek akhirnya akur dan turun menyerah diri.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum tiga tahun atau denda yang boleh sampai RM5,000 atau kedua-duanya,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|