Sektor industri disaran jalani saringan Covid-19 guna kit ujian kendiri

Sektor industri disaran jalani saringan Covid-19 guna kit ujian kendiri

Kota Kinabalu: Sektor industri di Sabah disaran melaksanakan ujian saringan Covid-19 terhadap kakitangan atau pekerja masing-masing menggunakan kit ujian kendiri bagi mengesan Covid-19.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Joachim Gunsalam, berkata saringan menggunakan Kit Ujian Rapid Antigen itu memudahkan usaha mengesan jangkitan Covid-19 di tempat kerja bagi mengelak daripada terus merebak.

Katanya, penggunaan kit itu yang mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) boleh dibuat di tempat kerja masing-masing pada bila-bila masa.

“Keputusan ujian itu akan terus dikemaskini dalam aplikasi MySejahtera,” katanya selepas mendengar taklimat syarikat Hazeldazzel Resources (Sabah) Sdn Bhd yang menjadi pengedar kit ujian saringan Covid-19, Salixium Rapid Antigen Test, di sini, hari ini.

Taklimat disampaikan Pegawai Pemasaran syarikat berkenaan, Shah Fareed Sham di pejabat Kementerian Pembangunan Perindustrian di Wisma Kewangan, di sini.

Yang turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian, Thomas Logijin dan wakil daripada Dewan Perindustrian dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MICCI), Dewan Perindustrian dan Perdagangan Kadazandusun (KCCI), Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Persatuan Perbot Sabah (SFA), Persatuan Industri Pembalakan Sabah (STIA), Persatuan Pengeluar Plastik Malaysia (MPMA) dan Persatuan Profesional dan Usahawan Wanita Sabah (SWEPA).

Syarikat yang berminat mendapatkan kit ujian berkenaan boleh menghubungi The Hazeldazzel Resources (Sabah) Sdn Bhd di talian 088-255 010 atau 016-8171144.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|