Cubaan seludup masuk rokok gagal

Cubaan seludup masuk rokok gagal

Semporna: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya mematahkan satu cubaan menyeludup masuk rokok di perairan Pulau Sisipan, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 10.15 malam itu, semua rokok berkenaan dibawa menggunakan sebuah bot laju sebelum disedari pasukan Maritim yang menjalankan penugasan Op Pluto Timur.

Pengarah Maritim Zon Semporna, Komander Norrimi Hassan berkata, sebaik disedari, pasukan maritim terus mengejar bot yang dipandu seorang lelaki untuk pemeriksaan.

Bagaimanapun katanya, suspek bertindak terjun ke laut sebelum menghilangkan diri di kawasan hutan bakau berhampiran.

“Hasil pemeriksaan terhadap bot berkenaan, pasukan maritim menemui tiga kotak besar berisi rokok pelbagai jenama.

“Semua rokok berkenaan yang dianggarkan bernilai RM15,290 itu dipercayai diseludup masuk untuk pasaran tempatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Norrimi berkata, jumlah keseluruhan rampasan termasuk bot dan enjin sangkut dianggarkan bernilai RM21,790.

Katanya, siasatan lanjut akan dijalankan termasuk mengesan suspek yang dipercayai bergerak aktif dalam menjalankan aktiviti penyeludupan rokok di daerah ini.

“Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada sepuluh kali nilai barang atau RM5,000 atau yang mana lebih tinggi,” tegasnya.

Sehubungan itu, Norrimi menegaskan Zon Maritim Semporna akan terus memperkasakan rondaan dan penguatkuasaan di kawasan sekitar yang dikenalpasti sebagai ‘hot spots’ penyeludupan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penyeludupan atau jenayah maritim boleh disalurkan terus ke Pusat Operasi Zon Maritim Semporna di talian 089-782619 atau MERS999.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|