Mengamuk tidak diberi duit

Mengamuk tidak diberi duit

Beaufort: Seorang lelaki seperti dirasuk apabila mengamuk sambil memegang sebilah parang selepas permintaan untuk mendapatkan wang tidak dipenuhi neneknya dalam kejadian di Kampung Kerukan, Kuala Penyu, di sini, semalam.

Malah, dalam kejadian jam 8 pagi itu, lelaki itu turut menjerit ingin membunuh orang sehingga menakutkan neneknya yang berusia 71 tahun.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, suspek berusia 43 tahun itu tinggal bersama neneknya.

Katanya, ketika itu suspek mengamuk dengan memegang sebilah parang selepas berang kerana tidak diberikan wang.

“Siasatan juga mendapati sebelum ini, suspek pernah mengamuk selepas tidak diberikan wang lalu menetak dinding rumah dan tangga di dalam dapur.

“Suspek juga dikatakan mahu membunuh orang. Susulan itu, neneknya membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Penyu, jam 12.26 tengah hari, semalam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Yusoff Zaki berkata, bertindak atas laporan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort ke lokasi kejadian.

Katanya, hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah syabu.

“Suspek diberkas anggota polis Balai Kuala Penyu sebelum diserahkan kepada anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Beaufort untuk tindakan lanjut.

“Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu melakukan ugutan jenayah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|