Penduduk di 12 lokaliti digesa patuh SOP

Penduduk di 12 lokaliti digesa patuh SOP

Sandakan: Penduduk di 12 lokaliti yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) digesa supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata, gesaan itu bagi memastikan tiada penduduk yang bertindak melarikan diri seperti berlaku di daerah lain.

Katanya, pihaknya akan terus melakukan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan penduduk sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Pemantauan ini tertumpu kepada pergerakan penduduk dan mereka yang mempunyai kebenaran bergerak.

“Setakat ini, hanya pekerja perkhidmatan perlu (essential service) saja yang dibenarkan keluar dari kawasan PKPD dengan kebenaran Ketua Polis Daerah Sandakan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Anggota polis melakukan hebahan di kawasan PKPD di sekitar Sandakan.

Mohd Azhar berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan sudah mendirikan sebanyak 12 pos kawalan mengikut kesesuaian lokasi.

Katanya, ia bagi mengawal dan mengetatkan pergerakan penduduk di kawasan berkenaan termasuk laluan tikus.

“Kebanyakan lokaliti ini sudah sedia berpagar dan kawat duri hanya dipasang di kawasan pagar rosak dan laluan tikus yang dikenalpasti,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Azhar menasihatkan supaya penduduk di kawasan PKPD di daerah ini menuruti undang-undang ditetapkan dan tidak mengambil tindakan yang menyalahi undang-undang.

Untuk rekod, antara kawasan yang dikenakan PKPD di daerah ini adalah Kampung (Kg) Istimewa Batu Sapi, Kg Tinosa 2, Kg Air/Bokara, Taman Merpati, Kg Berhala Darat/Sim Sim, Taman Mawar, Taman Murni dan Taman Kenari ( Lorong 1-8 ).

Selain itu, kawasan lain yang turut dikenakan PKPD ialah Flat Sri Taman, Flat Taman Sejati, Kg. Sundang Laut dan Kg Lupak Meluas Darat.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|