Sulap Rezeki untuk pelajar memerlukan

Sulap Rezeki untuk pelajar memerlukan

Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah (UMS) membuka bank makanan dinamakan Sulap Rezeki untuk membantu pelajar kurang berkemampuan mendapatkan bahan makanan sepanjang pandemik COVID-19.

Inisiatif di bawah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UMS itu adalah antara usaha UMS menjaga kebajikan pelajar di universiti itu.

Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin, berkata perkara itu selaras dengan misi universiti untuk melahirkan graduan seimbang dan berketrampilan.

“Sulap Rezeki ini berfungsi sebagai tempat untuk pelajar berkeperluan mendapatkan makanan secara percuma.

“Pada masa sama, ia memberi peluang kepada kakitangan FPSK untuk memberi sumbangan mengikut kemampuan masing-masing.

“Ia sejajar dengan slogan ‘ambil jika perlu, kongsi jika mampu’,” katanya ketika menyempurnakan pembukaan inisiatif itu di FPSK UMS, di sini, semalam.

Taufiq berkata, selain Sulap Rezeki, FPSK UMS turut mewujudkan Bilik Gerakan Pelajar sebagai pusat untuk melaksanakan pelbagai aktiviti.

Katanya ia memberi manfaat Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) FPSK UMS dan persatuan atau kelab pelajar di bawah FPSK UMS, antaranya Persatuan Pelajar Perubatan (MEDSTAS), Persatuan Pelajar Perubatan Asia (AMSA), Persatuan Pelajar Kejururawatan (NUSA) dan Kelab Da’ Vinci.

Sementara itu, Dekan FPSK UMS, Prof Dr Mohammad Saffree Jeffree, berkata ketika ini fakulti itu mempunyai lebih 700 pelajar termasuk pasca siswazah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|