Serunding kobis atasi lambakan kobis Kundasang

Serunding kobis atasi lambakan kobis Kundasang

Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya menghasilkan inovasi serunding daripada kobis bagi mengatasi masalah lambakan dihadapi pekebun tanah tinggi Kundasang di Ranau disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua kumpulan penyelidik UMS, Dr Jurry Foo, berkata inovasi itu memenangi pingat emas Pertandingan Reka Cipta dan Inovasi Kebangsaan (iCompEx) 2021 anjuran Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS), baru-baru ini.

Projek itu katanya yang dinamakan Penyediaan dan Pemasaran Serunding Kobis adalah inisiatif untuk membantu penduduk di Ranau menghadapi isu lambakan sayuran ketika PKP 1.0.

“Pada ketika itu pergerakan terhad menyebabkan petani menghadapi cabaran untuk memasarkan sayuran ke pasaran luar daerah dan hanya mengharapkan pembeli dalam kalangan penduduk setempat.

“Kobis adalah sayuran paling terjejas menyebabkan petani dan peniaga terpaksa menanggung kerugian, selain berlaku pembaziran sayuran.

“Atas keprihatinan terhadap nasib komuniti setempat, UMS melalui Pusat Pengurusan Penyelidikan melancarkan dana penyelidikan COVID-19 bagi membantu masyarakat,” katanya, di sini.

Kejayaan mengatasi masalah itu, katanya dibantu pakar UMS dari kumpulan penyelidik Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) serta penyelidik dari Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP).

Beliau berkata, pihaknya mencadangkan beberapa idea untuk memproses kobis menggunakan pengetahuan dan kemahiran sedia ada dalam komuniti bagi meminimumkan pembaziran sayuran.

“Sementara menunggu tawaran dana penyelidikan dari UMS, saya mengadakan bengkel secara dalam talian mengenai cara memproses kobis dalam bentuk serunding dengan menginspirasikan kaedah menghasilkan serunding ‘tuhau’ iaitu produk makanan tempatan yang popular dalam kalangan masyarakat di Ranau.

“Pada peringkat permulaan, cadangan ini mendapat tentangan umum kerana ramai yang beranggapan kobis tidak sesuai dijadikan serunding.

“Namun sekumpulan komuniti perintis berjaya merealisasikan idea dan resipi penyelidikan UMS itu melalui bimbingan secara dalam talian,” katanya.

Jurry yang juga Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar (PKPP) UMS, berkata usaha itu berjaya mengubah kobis daripada makanan biasa, kepada makanan yang dinilai tambah supaya tahan lama menerusi penghasilan serunding.

Produk kini dipasarkan secara dalam talian dan boleh didapati di pelantar e-Dagang seperti Shoppee dan Lazada, selain turut dijual di beberapa pasar raya di Sabah seperti Bataras dan Sabindo.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|