Dasar mesra pelabur pemangkin industri tenaga hijau di Sabah

Dasar mesra pelabur pemangkin industri tenaga hijau di Sabah

KOTA KINABALU: Langkah kerajaan Sabah melaksana dasar mesra pelabur ke negeri ini menyaksikan perkembangan positif apabila berjaya menarik perhatian salah sebuah negara ekonomi dunia, China.

Mengulas mengenai keistimewaan negeri ini, pengerusi salah sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) China, Chen Pengyu berkata, dasar berkenaan dilihat tepat pada masanya dalam memberikan impak kepada pembangunan rantau Asia.

Jelas beliau, selain itu, dasar terbabit turut menarik minat lebih ramai pelabur dari negara mereka menceburi pelbagai industri di Sabah, terutamanya berkaitan industri tenaga baharu dan hijau.

Pengarah Urusan Bumi Borneo Consultant and Training, Mohd Suffry Abdul Rahman (sut hitam) menandatangani perjanjian MOU bersama Chen Pengyu (duduk kanan) sambil disaksikan bekas ADUN Senallang, Datuk Seri Nassir Sakaran selaku jemputan khas di majlis berkenaan.

“Syarikat-syarikat dari China akan lebih banyak berminat untuk datang melabur ke Sabah demi membantu Sabah ke arah usaha keupayaan negeri menggunakan tenaga hijau.

“Di masa hadapan, saya juga berharap lebih banyak syarikat dari China dan syarikat dari seluruh dunia datang melabur ke Sabah untuk berkembang…Sabah adalah negeri yang berbaloi untuk melabur,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) di antara pihaknya, Shanghai Vision Industrial Development dan Bumi Borneo Consultant and Training di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu, semalam.

MOU berkenaan merupakan salah satu daripada agenda ‘bussiness matching’ yang dapat disaksikan dalam Pameran dan Persidangan Minyak, Gas dan Tenaga Sabah (SOGCE) Ke-11, 2024 yang berlangsung selama dua hari di Sabah, sejak Jumaat lalu.

Sementara itu, bagi pemain industri tempatan, Mohd Suffry Abdul Rahman yang merupakan Pengarah Urusan Bumi Borneo Consultant and Training berkata, peluang berkerjasama dengan syarikat luar negara dalam industri hijau di negeri ini merupakan wadah tepat bagi memenuhi aspirasi kerajaan negeri terhadap pemangkin kepada industri tenaga hijau di Sabah.

“Setelah kerajaan negeri Sabah melalui Suruhanjaya Tenaga Sabah, ECOS mengambil alih kuasa 3 Januari lalu kita sangat-sangat positif.

“Kita lihat memang ada berlaku perubahan dari segi perolehan tenaga dan walaupun baru 5, 6 bulan kita sudah dapat melihatnya, pada bulan Mei yang lepas pun tender terbuka untuk solar telah diapungkan untuk penyertaan semua pemain-pemain industri dalam solar ini, “katanya.

Terdahulu, dalam majlis berkenaan, turut menyaksikan pemeteraian MOU Shanghai Vision Industrial Development dan Bumi Borneo Consultant and Training dalam menjalinkan kerjasama di antara kedua-dua pihak bagi pembangunan tenaga hijau di negeri Sabah.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|