RM716 juta potensi pelaburan perniagaan francais dicatat dalam FIM 2024

RM716 juta potensi pelaburan perniagaan francais dicatat dalam FIM 2024

PUTRAJAYA: Sejumlah RM716 juta potensi pelaburan perniagaan francais berjaya dicatat sempena Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia 2024 (FIM2024) kali ke-31, baru-baru ini.

Program itu yang diadakan pada 30 Mei hingga 1 Jun 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.

Beliau berkata, pencapaian ini adalah hasil penawaran pakej perniagaan daripada lebih 100 buah syarikat francais tempatan dan luar negara.

“FIM2024 disertai oleh 16 syarikat francais dari luar negara yang terdiri daripada Arab Saudi, Australia, China, Filipina, India, Jepun, Korea Selatan, Singapura dan Thailand.

“FIM2024 merupakan platform terbaik penggiat industri untuk mempromosikan pakej perniagaan francais dan mengembangkan perniagaan di dalam dan luar negara melalui hasil perbincangan strategik dengan bakal francaisi dan pelabur yang hadir,” katanya dalam kenyatan media, semalam.

Ewon berkata, FIM2024 juga berjaya menarik minat usahawan tempatan dan asing untuk menceburi bidang perniagaan francais sebagai cabang pertumbuhan ekonomi.

“Ini dibuktikan menerusi sambutan luar biasa dengan kehadiran lebih 30,000 pengunjung iaitu peningkatan 50 peratus berbanding tahun sebelumnya,” katanya.

Bertemakan From Network to Net Worth in Franchising, FIM2024 memberi fokus bukan sahaja kepada perluasan perniagaan francais ke peringkat global malah pemantapan pengukuhan ekonomi di dalam negara.

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) turut memaklumkan bahawa Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada Konfederasi Francais Asia Pasifik (APFC) yang disertai oleh 22 negara asing dan Mesyuarat Tahunan Majlis Francais Dunia (WFC) bermula 27 hingga 29 Jun ini.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|