Sabah berpotensi kembangkan tanaman avokado

Sabah berpotensi kembangkan tanaman avokado

Kota Kinabalu: Sabah mampu menjadi pengeluar avokado utama di negara ini menerusi inisiatif kerajaan negeri menyediakan tanah seluas 3,200 hektar di Tenom untuk diusahakan dengan tanaman buah berkenaan.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong, Jamawi Jaafar, berkata inisiatif kerajaan itu bersesuaian dengan situasi semasa dalam negara yang memerlukan lebih banyak pengeluaran bahan makanan.

Beliau yang juga pengusaha tanaman avokado, berkata penanaman buah berkenaan juga berpotensi menjana hasil yang baik kepada petani, selain dapat memenuhi keperluan dalam negara.

“Berdasarkan laporan pada 2019, negara kita mengimpot lebih kurang 100 juta buah avokado dari luar negara. Ini menunjukan bekalan buah avokado tempatan belum dapat memenuhi keperluan pasaran tempatan.

“Jadi, potensi untuk mengembangkan tanaman ini secara komersial memang sangat besar. Inisiatif kerajaan itu juga secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan taraf hidup petani,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Beliau mengulas pengumuman Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor, baru-baru ini mengenai penyediaan kawasan khas untuk penanaman avokado secara komersial yang terletak di antara daerah Tenom dan Sipitang.

Hajiji berkata, usaha itu adalah antara tindakan kerajaan bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri khususnya dalam bidang pertanian seperti digariskan dalam hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dilancatkan pada awal tahun ini.

Sementara itu, Jamawi yang juga Pengerusi Perbadanan Pembangunan Bandar Sabah (SUDC), berkata syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang diberikan amanah untuk mengusahakan projek itu diharapkan dapat melaksanakannya dengan baik.

Katanya, tumpuan perlu diberikan terhadap aspek kepakaran teknologi, pemilihan varieti tanaman dan pengurusan ladang.

Jamawi berkata, sebagai ahli Persatuan Penanam Durian dan Buah-buahan Tropika Negeri Sabah (MASDA), beliau membantu untuk menjayakan projek tanaman berkenaan.

“Persatuan ini mempunyai pengalaman dan tenaga pakar dalam bidang pertanian yang sedia memberikan bantuan serta kerjasama untuk membangunakan projek ini,” katanya.

Katanya, kerjasama menang-menang dengan pelbagai pihak dapat memastikan projek itu memberi manafaat kepada kerajaan dan pekebun kecil di luar bandar.

Pada masa sama, beliau juga berharap agar Jabatan Pertanian Sabah dapat membantu pengusaha kecil avokado di luar bandar dengan memberikan khidmat latihan, bantuan baja dan racun serta pemasaran.

“Kita yakin bidang pertanian khususnya penamaman avokado mempunyai potensi jangka panjang untuk menjana ekonomi rakyat khususnya di luar bandar memandangkan harga di pasaran buah avokado cukup tinggi,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|