Covid-19: 19 bayi bawah setahun antara dijangkiti di Sabah hari ini

Covid-19: 19 bayi bawah setahun antara dijangkiti di Sabah hari ini

Kota Kinabalu: Sebanyak 19 kes positif Covid-19 di Sabah hari ini dikenal pasti membabitkan bayi berusia setahun ke bawah.

Turut dijangkiti ialah 70 kanak-kanak berumur setahun hingga lima tahun, manakala seramai 69 kes lagi membabitkan warga emas berumur 60 tahun ke atas.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata tiga golongan terbabit seharusnya dilindungi agar tidak terdedah kepada jangkitan Covid-19.

“Bayi, kanak-kanak dan warga emas seharusnya diberi perhatian yang lebih oleh ahli keluarga,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Masidi berkata sebanyak 215 kes lagi membabitkan golongan berumur antara enam tahun hingga 17 tahun.

Katanya, golongan berumur 18 hingga 59 tahun adalah yang paling banyak dijangkiti Covid-19 hari ini iaitu sebanyak 793 kes.

Sementara itu, beliau berkata daripada 1,166 kes baharu Covid-19 yang direkodkan di Sabah pada hari ini, sebanyak 213 kes atau 18.2 peratus dikenal pasti membabitkan golongan yang sudah divaksinasi.

Katanya, 92 individu dikenal pasti sudah lengkap dua dos vaksin, manakala 121 individu lagi sudah menerima satu dos vaksin.

“Ini menunjukkan kelalaian masyarakat dan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang masih lemah,” katanya.

Dalam pada itu, Masidi berkata 26.1 peratus atau 304 kes daripada jumlah kes kesekuruhan hari ini dikenal pasti membabitkan golongan yang tidak layak dibaksin, manakala 55.7 peratus atau 649 kes adalah golongan yang masih menunggu giliran untuk vaksinasi.

Pada hari ini, sebanyak 29,422 suntikan vaksin dos pertama diberikan di seluruh negeri, manakala sebanyak 5,110 suntikan bagi penerima dos kedua menerusi fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|