Tahanan buruan terakhir, akhirnya dicekup

Tahanan buruan terakhir, akhirnya dicekup

Penampang: Tahanan terakhir yang diburu sejak semalam, selepas melarikan diri dari Pusat Kuarantin Latihan Mahkamah Anak Negeri (ILMAN), akhirnya berjaya ditahan di Kilometer 3, Jalan Papar Spur, Papar, hari ini.

Tahanan Mohd Rahman Basir, 24, berjaya ditahan pada jam 2.20 petang, hasil maklumat yang diterima daripada orang awam dengan bantuan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) papar.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, operasi memburu tahanan itu dijalankan Pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) IPD Penampang.

Katanya, sebaik menerima maklumat orang awam, operasi memburu tahanan terbabit terus dijalankan sebelum berjaya menahannya.

“Kejayaan tangkapan terakhir ini berjaya menyelesaikan kes tahanan melarikan diri dalam tempoh 36 jam selepas dilaporkan pada jam 3.30 pagi semalam.

“Oleh yang demikian, IPD Penampang mengucapkan jutaan terima kasih kepada masyarakat yang membantu menyalurkan maklumat sehingga tertangkapnya tahanan itu yang diburu sejak semalam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Haris berkata, keempat-empat tahanan yang berjaya ditahan semula akan diambil tindakan pendakwaan mengikut peruntukkan undang-undang.

Sehubungan itu, Mohd Haris menasihati orang ramai yang mempunyai kontak rapat atau pernah bertemu dengan keempat-empat tahanan ini digesa supaya membuat ujian calitan Covid-19.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|