Covid-19: Kes baharu di Sabah melonjak lagi

Covid-19: Kes baharu di Sabah melonjak lagi

Kota Kinabalu: Sabah merekodkan 1,166 kes baharu Covid-19 hari ini, iaitu yang tertinggi dilaporkan sejak Januari lalu dengan peningkatan 164 kes berbanding semalam.

Seperti biasa saringan kontak rapat masih mendominasi senarai kes baharu dengan sebanyak 674 kes atau 57.8 peratus daripada jumlah kes hari ini.

Jurucakap perkembangan Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata ia disusuli kes menerusi saringan bergejala iaitu 171 kes (14.7 peratus) dan 147 kes (12.6 peratus) menerusi saringan kluster sedia ada.

Katanya, satu kluster baharu turut direkodkan hari ini di Tenom yang dinamakan Kluster Sibulu, membabitkan tempat kerja iaitu sebuah syarikat hidro yang beroperasi di daerah itu.

“Sehingga kini kluster itu mencatat sebanyak 55 kes, termasuk 35 kes baharu yang dilaporkan pada hari ini,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata Kota Kinabalu masih mendahului senarai kes tertinggi dengan 234 kes baharu, diikuti Penampang (123), Tawau (106), Beaufort (84), Tuaran (83), Papar (73), Kunak (68), Sandakan (61), Keningau (59), Tenom (41), Ranau (40) dan Telupid (38).

Katanya, tiada lagi daerah yang mencatat sifar kes, dengan kes baharu terendah hari ini dicatat di Kalabakan dan Nabawan iaitu satu kes, diikuti dua kes di Kudat, Semporna (tiga), Tongod (empat), Pitas (lima), Tambunan (enam) dan Kota Marudu (lapan).

“Empat daerah iaitu Lahad Datu, Kinabatangan, Beluran dan Kuala Penyu masing-masing mencatat 14 kes, diikuti Putatan (20), Sipitang (21) dan Kota Belud (29),” katanya.

Beliau berkata, jumlah kontak rapat yanh begitu tinggi memberi petunjuk bahawa ramai orang sudah terdedah kepada jangkitan Covid-19.

“Dalam situasi di mana virus sudah tersebar luas dalam masyarakat dan dalam kawasan yang luas, ‘lockdown’ bukan lagi kaedah yang berkesan untuk membendung penularan.

“Apa yang perlu dibuat ialah mempercepatkan vaksinasi di kalangan penduduk. Sabah telah menerima bekalan vaksin yang banyak pada minggu ketiga Julai.

“Bermula 21 Julai hingga 31 Julai, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) berjaya memberi 374,214 dos vaksin. Kita berharap untuk meneruskan vaksinasi pada kadar purata 50,000 dos sehari dalam bulan ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|