Jambatan konkrit bakal atasi masalah penduduk Kampung Sanang

Jambatan konkrit bakal atasi masalah penduduk Kampung Sanang

Keningau: Kesukaran perhubungan dihadapi penduduk Kampung Sanang Dalit, Sook, dekat sini berikutan ketiadaan jambatan yang kukuh menghubungkan kampung mereka sejak sekian lama bakal berakhir tidak lama lagi.

Ia berikutan pembinaan jambatan baharu daripada konkrit itu diusahakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Arthur Joseph Kurup menggunakan peruntukan khas beliau sebagai Ahli Parlimen Pensiangan.

Beliau berkata tindakan segera diambil bagi membolehkan penduduk kampung menggunakan jambatan itu sebagai laluan utama ke pekan Sook selepas jambatan sebelum ini runtuh akibat banjir.

“Jambatan yang dibina pada tahun 1970-an runtuh disebabkan banjir dan penduduk terpaksa menggunakan jambatan sementara yang dibina secara bergotong-royong.

“Kerja-kerja pembinaan jambatan baharu sudah bermula dan akan mengambil masa selama tiga minggu untuk disiapkan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Jelasnya, pembinaan jambatan konkrit itu memudahkan penduduk kampung berulang-alik menggunakan kenderaan seperti kereta dan motosikal, berbanding sebelum ini terpaksa ditinggalkan di seberang sungai.

“Apabila siap nanti, keselamatan penduduk akan lebih terjamin terutama bagi mereka yang sering menggunakan laluan ini untuk membawa ahli keluarga mendapatkan rawatan di klinik berhampiran,” katanya.

Sementara itu, katanya kerajaan Pusat sentiasa memberi tumpuan kepada kawasan luar bandar di Sabah dan Sarawak bagi memastikan penduduknya mendapat pembelaan sewajarnya.

Beliau menambah, menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), kerajaan mewujudkan satu bab khusus untuk Sabah dan Sarawak bagi membolehkan tumpuan sepenuhnya diberikan kepada kedua-dua negeri.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|