KOTA KINABALU: Pemulangan hak 40 peratus kepada Sabah perlu disegerakan kerana ia bukan sekadar tuntutan perlembagaan, sebaliknya keperluan mendesak bagi menangani isu asas pembangunan yang masih membelenggu rakyat, khususnya di kawasan pedalaman negeri ini.
Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor, Hj Yazid Hj Mohd Hasnan Tawik @ Charles, berkata realiti kesukaran yang dihadapi rakyat luar bandar ketika ini jelas menunjukkan Sabah memerlukan sumber kewangan lebih kukuh bagi mempercepat pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas.
Katanya, pengorbanan penjawat awam yang sanggup meredah sungai, laluan tidak berturap dan kawasan terpencil tanpa akses jalan raya demi menyampaikan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat membuktikan masih banyak kawasan di Sabah memerlukan perhatian serius.
“Keadaan ini bukan sahaja menggambarkan ketabahan dan dedikasi tinggi penjawat awam Sabah, malah memperlihatkan realiti sebenar kehidupan sebahagian rakyat yang masih belum menikmati kemudahan asas secara menyeluruh.
“Justeru, pemulangan hak 40 peratus perlu dilihat sebagai langkah penting untuk memperkukuh pembangunan negeri dan memastikan rakyat di kawasan pedalaman tidak terus ketinggalan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, hasil yang sepatutnya dikembalikan kepada Sabah itu diyakini mampu membantu kerajaan negeri melaksanakan lebih banyak projek pembangunan secara efektif dan inklusif.
Menurutnya, antara keutamaan yang perlu diberikan perhatian ialah pembinaan jaringan jalan raya, peningkatan akses bekalan air dan elektrik, selain memperluaskan capaian perkhidmatan kerajaan di kawasan luar bandar.
“Langkah ini juga penting bagi merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar supaya kesejahteraan rakyat dapat dinikmati secara lebih menyeluruh,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa Sabah mempunyai hak yang perlu dihormati dan dilaksanakan demi masa depan pembangunan negeri yang lebih mampan serta seimbang.
