TAWAU: Kerjasama strategik antara syarikat media Sabah dan Kalimantan Utara (Kaltara), Indonesia menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) diyakini mampu memperkukuh hubungan dua wilayah berjiran selain membantu menangani penularan berita palsu di media sosial.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kerjasama itu bukan saja memberi manfaat kepada pengamal media, malah mengeratkan hubungan Malaysia dan Indonesia khususnya membabitkan Sabah serta Kalimantan Utara.
Katanya, kolaborasi berkenaan turut membuka ruang lebih luas kepada pengamal media di kedua-dua negara untuk meningkatkan profesionalisme serta memartabatkan etika kewartawanan.
“Syabas dan tahniah kepada pengamal media dari Malaysia dan Indonesia khususnya Sabah dan Kalimantan Utara atas persefahaman yang dimeterai hari ini.
“Kerjasama ini sudah pasti memberi manfaat kepada kedua-dua negara dan kawasan terbabit khususnya Tawau dan Kaltara, Sabah dan Kalimantan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara syarikat media Sabah dan syarikat media Kaltara, Indonesia di sini, semalam.
Turut hadir, Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Rina Haji Jainal dan Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Kalabakan, Saripudin Nuhalim.
Nizam turut merakamkan penghargaan kepada Pemangku Ketua Konsulat Republik Indonesia di Tawau, Dino Nurwahyudin atas sokongan penuh terhadap penganjuran program berkenaan.
Menurutnya, sokongan kepimpinan kedua-dua negara amat penting bagi memastikan kerjasama yang terjalin terus diperkukuh demi manfaat bersama.
Dalam pada itu, beliau berkata, persefahaman berkenaan juga menjadi komitmen pengamal media baharu untuk terus menjaga etika kewartawanan dan profesionalisme dalam penyampaian maklumat.
“Kita melihat ada pihak yang bukan wartawan tetapi bertindak seolah-olah mereka wartawan sehingga etika kewartawanan tidak lagi dipelihara.
“Dengan adanya kerjasama ini, kita berharap pengamal media sosial dapat bersama-sama menjaga tata susila dan etika kewartawanan kerana tanggungjawab wartawan adalah menyatukan masyarakat serta menyampaikan berita yang sahih,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa menyemak kesahihan sesuatu berita sebelum menyebarkannya bagi mengelakkan penularan maklumat palsu.
Sementara itu, Dino Nurwahyudin berkata, kerjasama berkenaan dijangka meningkatkan lagi interaksi ekonomi dan sosial antara masyarakat Sabah dan Kalimantan Utara yang sememangnya mempunyai hubungan erat sejak sekian lama.
Katanya, MoU itu akan membuka lebih banyak ruang kepada media di kedua-dua wilayah untuk melaporkan aktiviti serta potensi kerjasama yang sebelum ini kurang mendapat perhatian.
“Hubungan masyarakat di sempadan ini sudah berlangsung sangat lama dan terdapat banyak aktiviti yang belum direkodkan secara meluas oleh media.
“Kami berharap dengan adanya MoU ini, lebih banyak berita berkaitan kerjasama antara Indonesia dan Malaysia dapat diketengahkan kepada masyarakat,” katanya.
Menurutnya, kerjasama itu juga penting bagi mengelakkan penyebaran berita tidak tepat atau provokasi kerana media di kedua-dua negara kini mempunyai akses lebih baik kepada sumber rasmi dan tokoh berkaitan.
