Lebih 1,000 hadir pada program vaksinasi DUN Segama

Lebih 1,000 hadir pada program vaksinasi DUN Segama

Lahad Datu: Program vaksinasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Sri Perdana, Lahad Datu, di sini, mendapat sambutan amat menggalakkan daripada masyarakat daerah ini.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) DUN Segama, Mizma Appehdullah berkata, sepanjang program yang diadakan hari ini, ia dihadiri lebih 1,000 penduduk untuk mendapatkan vaksin.

Katanya, sambutan itu jelas menunjukkan kesedaran tinggi orang ramai mengenai pentingnya vaksin khususnya bagi mengekang wabak Covid-19 dalam komuniti.

“Hari ini saya bersama sahabat Ahli Majlis Daerah Lahad Datu, Bashir Ahmad dan Rafee Wahid berkesempatan meninjau ke pusat PPV ini.

“Sebelum ini kita maklum keadaan sangat sesak sehingga timbulnya kegusaran terkait pematuhan SOP dalam kalangan warga Lahad Datu yang hadir ke pusat ini,” katanya.

Mizma berkata, hasil kerjasama semua pihak beberapa penambahbaikan dapat dilaksana terutama sekali membabitkan pematuhan SOP semasa menunggu giliran vaksin.

“Pastinya keadaan yang teratur ini adalah atas inisiatif daripada para petugas yang terbabit. Sehubungan itu saya ingin menyampaikan rasa penghargaan kepada kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM yang mengambil maklum dalam mengurus dan meletakkan keutamaan kepada perkara ini. 

“Usaha kita bagi mencapai tahap komuniti kelompok pastinya akan lebih pantas dan selamat dengan keadaan sebegini. Kita tidak mahu PPV menjadi pusat wujudnya kluster baharu,” katanya.

Mizma berkata, pelaksanaan SOP dengan pemantauan ketat dan sentiasa diperbaiki adalah satu usaha berpanjangan yang amat perlu diawasi dan dijaga sepanjang masa.

“Semoga usaha yang dilaksana ini mampu mencapai sasaran seperti yang diharapkan oleh kerajaan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|