Sabah kehilangan tokoh amat disegani – Bung Moktar

Sabah kehilangan tokoh amat disegani – Bung Moktar

Kota Kinabalu: Pemergian bekas Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Sakaran Dandai yang meninggal dunia akibat Covid-19 pagi tadi disifatkan sebagai satu kehilangan tokoh yang amat disegani di Sabah.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata Allahyarham memberikan sumbangan yang besar dalam pembangunan negara khususnya di Sabah yang merangkumi aspek sosio ekonomi, politik, kebajikan dan agama.

“Allahyarham telah melalui perjalanan yang panjang dalam kerjayanya, sama ada dalam perkhidmatan awam, politik dan dakwah di negeri ini. Justeru, pemergian beliau sudah tentu dirasai oleh rakyat negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah, berkata dalam bidang politik Allahyarham Tun Sakaran sangat dikenali sebagai seorang pemimpin yang berprinsip dan setia kepada perjuangan parti.

“Saya pernah berkerja di bawah kepemimpinan Allahyarham ketika beliau menjadi Ketua Menteri. Pendekatan sederhana dan mesra rakyat yang menjadi amalan beliau membuatkan Allahyarham bukan sahaja disegani tetapi disayangi oleh rakyat,” katanya.

Dalam bidang agama pula, Bung Moktar, berkata Allahyarham Tun Sakaran adalah ikon yang boleh dijadikan contoh dalam aktiviti dakwah terutama dalam usaha mengembangkan syiar Islam di negeri ini melalui Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) yang pernah dipimpinnya selama beberapa penggal.

“Saya bersama kepemimpinan UMNO Sabah merakamkan takziah kepada keluarga Allahyarham Tun, terutama kepada isteri beliau, Toh Puan Siti Rukaiyah Abdullah atas pemergian suami beliau. Jasa Tun Sakaran kepada Sabah amat besar. Moga roh Allahyarham dicucuri rahmat,” katanya.

Sakaran, 91, disahkan meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 di Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu pada jam 5.30 pagi tadi.

Jenazah Allahyarham selamat disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negeri Sabah di Sembulan pada jam 11.45 pagi tadi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|