Kadar jenayah turun dalam tempoh pandemik Covid-19

Kadar jenayah turun dalam tempoh pandemik Covid-19

Kota Kinabalu: Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kesedaran bahaya jangkitan pandemik Covid-19 membantu menurun kadar jenayah di Sabah.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, ia terbukti dengan penurunan sehingga 30 peratus kadar jenayah sepanjang lapan bulan tahun ini.

Katanya, penguatkuasaan PKP berterusan yang dilaksanakan kerajaan memainkan peranan penting dalam mengekang penularan jangkitan Covid-19.

“Ia juga sekali gus menyekat pergerakan bebas orang ramai sehingga membantu menyumbang kepada penurunan kadar jenayah sebanyak 30 peratus.

“Selain itu, situasi masyarakat yang duduk di rumah dan sekatan jalan raya yang diperluaskan, tidak memberi peluang kepada mereka yang tidak bertanggungjawab untuk melakukan jenayah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat perpisahan kepada Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri, hari ini.

Hazani berkata, walaupun kadar jenayah memperlihatkan penurunan amat ketara, namun pemantauan dan penguatkuasaan akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa.

Katanya, ia bukan saja membabitkan lokasi di pusat bandar dan daerah seluruh negeri tetapi juga kawasan perairan Sabah.

“Ia bagi menghalang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang bukan saja menyumbang kepada kes jenayah tetapi juga membantu melandaikan penularan wabak Covid-19,” katanya.

Hazani yang akan berpindah ke Bukit Aman sebagai Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) awal bulan depan turut merakamkan ucapan penghargaan kepada Tun Juhar serta kerajaan negeri atas kerjasama erat sepanjang bertugas di negeri ini.

Beliau yang berkhidmat lebih 17 tahun di Sabah berharap agar kerjasama itu dapat diteruskan dan imej serta prestasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus dijaga dan dipertingkatkan pada masa akan datang.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|