Covid-19 Sabah: Penduduk dewasa lengkap vaksin disasar capai 40 peratus esok

Covid-19 Sabah: Penduduk dewasa lengkap vaksin disasar capai 40 peratus esok

Kota Kinabalu: Penduduk yang sudah melengkapkan pengambilan vaksin Covid-19 di Sabah disasar mencecah 40 peratus daripada populasi dewasa negeri ini menjelang malam Hari Kebangsaan, esok.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata ia berdasarkan rekod setakat semalam yang menunjukkan 38 peratus penduduk dewasa Sabah sudah melengkapkan pengambilan vaksin.

“Sehingga semalam 38 peratus penduduk dewasa Sabah telahpun melengkapkan pengambilan vaksin dan 57.2 peratus telah memperolehi satu dos.

“Menjelang malam Hari Kebangsaan (31/8/21) kita berharap 40 peratus penduduk dewasa Sabah akan memperolehi vaksin yang lengkap,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Sabah hari ini mencatat 2,310 kes baharu Covid-19, menunjukkan penurunan sebanyak 268 kes berbanding 2,578 kes yang direkodkan semalam.

Masidi berkata, beberapa daerah turut merekodkan penurunan ketara dengan Tuaran mencatat penurunan tertinggi sebanyak 210 kes kepada 259 kes hari ini berbanding 469 kes semalam.

“Daripada 2,310 kes hari ini, saringan melalui kontak rapat kekal penyumbang utama dengan 1,342 kes (58.1 peratus), diikuti saringan bergejala sebanyak 680 kes (29.4 peratus) dan 37 kes lagi dikesan melalui kluster sedia ada.

“Sebanyak 2,016 kes baharu pula dikenal pasti melibatkan warga negara, manakala 294 kes adalah warga asing. Imbangan antara lelaki dan perempuan hampir sama iaitu 1,202 lelaki, manakala perempuan seramai 1,108 orang,” katanya.

Dalam pada itu, katanya kes dalam kategori dua masih menjadi kumpulan terbanyak dengan 1,485 kes, diikuti 702 kes dalam kategori dua, manalala 26 kes bagi kategori tiga, sebanyak tujuh kes dalam kategori empat dan lima kes bagi kategori lima.

“Hari ini juga masih ada keputusan kes yang lewat didaftar atas sebab yang tidak dapat dielakkan. Hari ini sebanyak 882 kes (38.2 peratus) didaftar lewat antara dua hingga tiga hari, diikuti 216 kes (9.4 peratus) lewat didaftar antara empat hingga lima hari dan 260 kes (11.3 peratus) lewat didaftar melebihi lima hari.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|