Hajiji minta rakyat terus bersatu, bersemangat sambut Hari Kebangsaan

Hajiji minta rakyat terus bersatu, bersemangat sambut Hari Kebangsaan

Kota Kinabalu: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menggesa rakyat Malaysia di Sabah supaya terus bersatu dan menyambut Hari Kebangsaan dengan penuh rasa bangga dan semangat patriotik.

Katanya, rakyat juga perlu bersyukur dengan apa yang dikecapi selain menjauhi segala perkara yang boleh menjejaskan perpaduan serta keamanan yang dinikamti selama ini.

“Bersyukurlah dengan keamanan dan keharmonian yang telah kita kecapi. Marilah kita mengenepikan perbezaan dan anasir-anasir yang boleh menggugat perpaduan.

“Marilah kita fokus kepada persamaan kita untuk membangun negara yang lebih baik,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2021 esok.

Hajiji berkata walaupun menghadapi pelbagai cabaran, rakyat Malaysia perlu terus bangkit dan bersama kerajaan untuk menempuh saat-saat sukar.

Katanya, ia termasuk sama-sama terus berjuang melawan pandemik Covid-19 yang menjejaskan kehidupan serta ekonomi negara.

“Tema Hari Kebangsaan iaitu Malaysia Prihatin, mencerminkan tekad kerajaan dan rakyat untuk memerangi pandemik Covid-19,” katanya.

Beliau berkata, keprihatinan rakyat Malaysia juga boleh dizahirkan dengan meraikan jasa dan pengorbanan petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus memastikan negara terus dilindungi serta selamat daripada pandemik Covid-19 dan ancaman keselamatan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|