Bom lama seberat 226 kilogram berjaya dimusnahkan

Bom lama seberat 226 kilogram berjaya dimusnahkan

Beaufort: Bom lama seberat hampir 226 kilogram yang digunakan ketika Perang Dunia Kedua dimusnahkan di tapak pembinaan Taman Impiana, di sini, hari ini.

Bom jenis Air Drop itu dimusnahkan Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan UPB Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort , kira-kira jam 2 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, bom lama itu dipercayai adalah bom dari jenis Air Drop yang digugurkan oleh Tentera British menggunakan pesawat udara namun tidak meletup.

Katanya, anggaran berat bom berkenaan hampir 226 kilogram dengan anggaran jarak bahaya letupan yang mampu mencecah sehingga 500 meter.

“Proses memusnahkan bom dilaksanakan pada 2 petang dan selesai sepenuhnya jam 2.45 petang dengan kawalan ketat pasukan polis.

“Bom berkenaan berjaya diletupkan dengan impak yang minimum tanpa sebarang masalah yang timbul,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, sekumpulan pekerja binaan yang sedang melakukan kerja-kerja pembersihan terkejut selepas menemui sebutir bom lama, kira-kira jam 10 pagi.

Susulan penemuan itu, sepasukan polis dari IPD Beaufort, bergegas ke lokasi dan menemui bom berkenaan dipercayai peninggalan Perang Dunia Kedua.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|