Aplikasi online norma baharu dalam mendekati rakyat

Aplikasi online norma baharu dalam mendekati rakyat

Kota Kinabalu: Penularan pandemik Covid-19 dan perkembangan dunia teknologi membawa norma baharu dalam usaha mendekati rakyat.

Pembaharuan yang wujud itu harus diambil perhatian dengan mengaplikasikan gerak kerja dalam talian dalam usaha memantapkan parti.

Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, UMNO Sabah perlu bersiap siaga bagi memperkasakan parti berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Katanya, walaupun ia bukan perkara mudah namun itulah perjuangan yang diperlukan UMNO untuk menentukan nasib agama, bangsa dan negara.

“Dunia sudah berubah, kita kena ‘apply’ norma baharu dan mungkin selepas ini cara berkempen akan banyak bergantung kepada program dalam talian.

“Ia kerana kita mungkin tidak lagi dibenarkan turun padang secara beramai-ramai seperti sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Pidato ‘Atas Talian’ peringkat Negeri Sabah, di Bangunan UMNO Sabah, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Yakub Khan dan Setiausahanya Datuk Jafry Ariffin.

Bung berkata, pihaknya amat menyanjung tinggi usaha yang dilakukan menerusi penganjuran pertandingan pidato itu sebagai salah satu mekanisme berkesan dalam memastikan kempen serta jentera berjalan lancar.

Katanya, UMNO Sabah perlu memperbanyakkan lagi rangkaian dalam menyampaikan informasi yang sepatutnya untuk mendapat tempat di hati rakyat.

“Ini amat penting yang saya kongsikan dengan semua ketua bahagian dan ketua penerangan di setiap bahagian.

“Keadaan sudah berubah berbanding 10 atau 20 tahun lalu. Rakyat mahu tahu apa UMNO boleh berikan hari ini dan masa depan.

“Kalau sekadar bercerita mengenai apa yang UMNO berikan dahulu, ia sudah tidak relevan. Kita tidak mahu menabur janji sebaliknya kita benar-benar membela rakyat,” katanya.

Bung berkata, UMNO Sabah memerlukan kemenangan dalam PRU akan datang untuk membawa pembangunan yang berterusan.

Oleh itu katanya, jentera di setiap bahagian perlu memastikan perjuangan UMNO terus berjalan lancar dengan keyakinan dan strategi sepatutnya.

Sementara itu, pertandingan pidato berkenaan disertai seramai 23 peserta pemidato dari seluruh bahagian UMNO Sabah.

Tempat pertama dimenangi oleh Mohd Fikri Mohd Jumat dari bahagian Kalabakan dan tempat kedua disandang oleh Nornikman Ag Kati dari UMNO Kimanis.

Manakala tempat ketiga pula dimenangi oleh Dg Sabrina Pg Jaafar, wakil dari UMNO Papar.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|