Lajim sahabat baik, ahli politik berwibawa – Musa Aman

Lajim sahabat baik, ahli politik berwibawa – Musa Aman

Kota Kinabalu: Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman menyifatkan bekas timbalannya, Datuk Seri Lajim Ukin, yang meninggal dunia akibat Covid-19 semalam sebagai seorang sahabat yang baik dan ahli politik berwibawa.

Musa turut menyifatkan bekas Ahli Parlimen Beaufort dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias itu sebagai pemimpin yang amat dihormati oleh rakyat Sabah keseluruhannya.

“Al-Fatihah dan salam takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Datuk Seri Panglima Lajim Haji Ukin.

“Allahyarham merupakan sahabat yang baik, ahli politik yang berwibawa dan berpengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan di peringkat negeri dan persekutuan, pemimpin yang amat dihormati bukan sahaja dalam kalangan suku kaum Bisaya tetapi juga rakyat pada keseluruhannya.

“Sebagai pemimpin, Allahyarham banyak memberikan sumbangan dan khidmat khususnya kepada negeri dan rakyat Sabah dan terus menabur bakti sehingga ke akhir hayatnya.

“Semoga roh Allahyarham Datuk Seri Panglima Lajim Haji Ukin mendapat rahmat dan anugerah keampunan daripada Allah SWT serta dikurniakan tempat bersama satu kumpulan orang-orang yang beriman dan beramal soleh serta dimasukkan ke dalam Syurga. Amin Ya Robbal Alamin,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Lajim pernah menjadi Timbalan Ketua Menteri pada awal kepemimpinan Musa sebagai Ketua Menteri bermula pada 2003 selain sama-sama berada dalam kepemimpinan UMNO negeri.

Allayarham meninggal dunia akibat Covid-19 di Hospital KPJ, di sini, pagi semalam sebelum dibawa pulang dan dikebumikan di kampung halamannya di Kebatu, Beaufort tengah hari semalam.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|