Yang di-Pertuan Agong ucap takziah kepada keluarga Tun Sakaran

Yang di-Pertuan Agong ucap takziah kepada keluarga Tun Sakaran

Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan ucapan takziah atas pemergian bekas Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Sakaran Dandai akibat Covid-19 pagi tadi.

Dalam perutusan yang dikongsikan di laman Facebook Istana Negara, baginda turut menzahirkan rasa sedih terhadap pemergian Allayarham Tun Sakaran

“Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Tun Datuk Seri Panglima Sakaran Mohd Hashim bin Dandai, Mantan Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sabah, yang telah kembali ke Rahmatullah pada pagi hari ini.

“Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

“Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada masyarakat dan negara.

“Seri Paduka Baginda berdua turut menyifatkan permergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada negara,” kata perutusan baginda seperti dikongsikan dalam laman Facebook Istana Negara.

Seri Paduka Baginda berdua turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|